Sengat Tevez



LONDON: Carlos Tevez meneruskan sentuhan hebatnya apabila meledakkan kedua-dua gol bagi membantu Manchester City menang 2-1 ke atas musuh setempat, Manchester United sekali gus menjanjikan pertemuan ulangan yang lebih sengit pada separuh akhir kedua Piala Liga.


Setakat ini, Tevez sudah melakar 13 gol sepanjang 11 perlawanan bagi membolehkan City menguasai perlawanan pertama pertemuan di Eastlands menentang bekas kelabnya walaupun United yakin akan mampu bangkit pada pertemuan kedua di Old Trafford, Rabu depan.

"Ia sesuatu yang istimewa buat saya dan jaringan itu adalah untuk peminat," kata Tevez kepada BBC selepas penalti yang disempurnakan pada babak pertama mengikat kedudukan 1-1 sebelum menanduk masuk gol kemenangan pada babak kedua.


Ryan Giggs meletakkan United di depan minit ke-17 dan walaupun pelawat berjaya memecahkan benteng pertahanan tuan rumah sepanjang 20 minit terakhir, mereka tetap gagal menemui jaringan penyamaan.

Permusuhan City dan United sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan pasukan yang dianggap sebagai pencabar utama buat kelab Old Trafford itu hanyalah Arsenal dan Chelsea.

Begitupun, pemilik City yang berbelanja besar untuk mendapatkan pemain seperti Tevez, Emmanuel Adebayor, Robinho serta yang lain kini mula menampakkan perubahan.

Tevez memainkan peranan besar dalam merubah nasib City selepas dia meninggalkan United hujung musim lalu dan kehadirannya disambut meriah peminat City. - Reuters

0 comments: