Rooney buru penjaring terbanyak


ROONEY berazam untuk mengatasi jumlah 23 gol yang dijaringkannya tiga musim lalu.

LONDON - Wayne Rooney memburu jumlah jaringan terbanyak dalam kariernya selepas meledakkan empat gol ketika Manchester United menewaskan Hull City 4-0 dalam saingan Liga Perdana England kelmarin.

Penyerang England itu mempamer sentuhan berbisanya untuk membantu juara bertahan, United menerajui kedudukan liga.

Empat jaringan Rooney itu menambah jumlah jaringannya buat United musim ini kepada 20 gol.

Kini dia berazam untuk mengatasi jumlah 23 gol yang disumbangnya tiga musim lalu.

"Saya yakin mampu mengatasi pencapaian terbaik saya dengan United," kata Rooney.

Pengurus United, Alex Ferguson turut menegaskan tentang betapa pentingnya pemain bintangnya itu.

Ferguson berkata: "Dia sentiasa menjadi tonggak utama kami, sejak dia tiba di kelab ini. Dia tidak pernah menghampakan.

"Tidak diragui lagi bahawa empat gol ini adalah bukti kehebatannya." - Agensi

0 comments: