Stoke aibkan Arsenal



LONDON: Arsenal menjadi pasukan elit terbaru Liga Perdana Inggeris yang tersingkir awal daripada saingan Piala FA apabila dua gol jaringan Ricardo Fuller mencetus kemenangan 3-1 Stoke City ke atas Gunners pada pusingan keempat semalam.

Sebelum ini, Manchester United tumpas di tangan Leeds dan Liverpool dikejutkan Reading, seawal pusingan ketiga dan perubahan besar dalam skuad kendalian Arsene Wenger di Stadium Brittania, dikatakan punca kekalahan mereka semalam.

Stoke City membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Fuller yang menanduk masuk hantaran ke dalam Rory Delap yang mengambil masa agak lama akibat tindakannya mengelap bola dengan tuala sebelum melontar.

Pertahanan Gunners yang diperkuatkan semula dengan kehadiran Sol Campbell, nampak goyah pada ketika penjaga gol, Lukasz Fabianski juga kurang meyakinkan.

Pelawat menyamakan kedudukan tiga minit sebelum wisel rehat menerusi Denilson yang merembat kencang hantaran sepakan percuma Cesc Fabregas.

Babak kedua menyaksikan Stoke terus menguasai permainan dan kembali mendahului menerusi Fuller yang sekali lagi membolosi Fabianski dengan menanduk masuk hantaran Mamady Sidibe.

Gol ketiga tuan rumah dihasilkan Dean Whitehead yang menolak mudah hantaran Matthew Etherington pada minit ke-82, bagi memastikan Arsenal tersingkir daripada kancah saingan Piala FA musim ini. - Agensi

0 comments: