Sengat Saravanan masih berbisa



SARAVANAN sudah bersedia memikul tugas sebagai peledak utama skuad ATM dalam kempen Liga Perdana musim ini.


BEKAS penyerang kebangsaan, V. Saravanan bersedia untuk memikul tugas sebagai peledak utama skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kempen Liga Perdana musim ini.

Selepas mengharungi tiga perlawanan awal, pemain berusia 32 tahun itu membuktikan sengatnya masih berbisa dan setakat ini telah meledak empat gol untuk ATM.

Saravanan menyumbat satu gol ketika ATM mencatat keputusan seri 1-1 dengan Harimau Muda dan satu lagi ketika menentang Shahzan Muda.

Malam kelmarin, bekas pemain Perak, Pahang dan UPB-MyTeam itu terus garang apabila meledak dua gol bagi membantu ATM mencatat kemenangan sulung dengan membelasah Majlis Perbandaran Muar 4-0 di Larkin, Johor Bahru.

"Saya sedar tanggungjawab yang diberikan kepada saya ini cukup besar selepas ketiadaan Khalid Jamlus.

"Syukur kerana saya berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut dalam tiga perlawanan awal ini.

"Saya akan terus bekerja keras untuk mengekalkan momentum dengan matlamat untuk membawa pasukan ini layak ke Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas hanya seri pada dua perlawanan awal, skuad ATM yang dibimbing jurulatih, Zulhamizan Zakaria kini semakin menampakkan keserasian menerusi gandingan pemain luar dan separuh anggota ATM sendiri.

"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana tanpa kerja keras dan kesungguhan mereka, saya mungkin tidak dapat menjaringkan empat gol setakat ini.

"Apa pun, kami akan berusaha meneruskan rentak kemenangan ini dengan harapan dapat menewaskan Sabah pada aksi di tempat sendiri Jumaat ini," ujarnya.

Musim ini, ATM diperkuatkan oleh beberapa tonggak berpengalaman antaranya Ahmad Tharmini Saiban, Danial Fadzly Abdullah, Chan Wing Hoong, Nafuzi Zain, Syahman Zainuddin, Nasril Nourdin dan Khalid Jamlus.

Bagaimanapun, Khalid belum diturunkan lagi musim ini kerana dikatakan digantung pihak pengurusan atas kesalahan disiplin tetapi dia berkemungkinan besar akan kembali memperkuatkan jentera serangan ATM.

0 comments: