Pertarungan Tevez, Neville di Old Trafford



LONDON: Tidak perlu digembar-gemburkan lagi kerana sudah jelas pergeseran di antara Carlos Tevez dengan Gary Neville pasti menjanjikan saingan hangat dalam perlawanan separuh akhir kedua, Piala Liga membabitkan Manchester City dengan Manchester United, hari ini.

Penyerang Argentina itu yang meninggalkan United untuk beraksi bersama City musim lalu, menjaringkan kedua-dua gol membolehkan kelabnya menang 2-1 di Eastland pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun, isyarat 'diam' oleh Tevez yang ditunjukkan kepada Neville, dibalas isyarat lucah daripada pemain United itu lalu mencetuskan perang mulut.

Tevez menyifatkan Neville sebagai 'pengampu' dan 'bodoh' ketika temuramah bersama radio Argentina kerana menyokong keputusan pengurus United, Alex Ferguson yang tidak mahu berbelanja untuk mengekalkannya pada musim panas lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif City, Garry Cook mendakwa City akan menjadi kelab terbesar dunia dan perlu sedia berani untuk menggugat penguasaan United di laman sendiri walaupun ia mengundang risiko.

Sejurus itu, Ferguson mendakwa Tevez seharusnya dibuang padang kerana mengasari Wes Brown.

Polis turut melakukan beberapa tangkapan sebelum dan ketika perlawanan pertama minggu lalu dan pegawai tambahan dikerah untuk mengawal Old Trafford apabila United terdesak untuk menghapuskan defisit dan menempah perlawanan menentang Aston Villa pada final di Wembley.

Ia menjadi detik terbaik untuk United merobek keyakinan tinggi pasukan City yang semakin menghampiri piala pertama yang amat bermakna buat mereka selepas kali terakhir mendakap kejuaraan pada 1976, beberapa minggu selepas pasukan diambil alih oleh Roberto Mancini. � Reuters

0 comments: