Gergasi luka belasah Johor




AMIRULHADI turut mencatat nama sebagai penjaring gol pasukan Selangor semalam.

IBARAT gergasi terluka, Selangor pantas melupakan igauan ngeri tewas kepada Terengganu Sabtu lalu dengan membelasah Johor 6-0 di Stadium Shah Alam malam tadi, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Kemenangan tersebut cukup penting bagi memastikan Selangor kekal menghuni tangga teratas Liga Super dengan 15 mata selepas ber- akhirnya enam perlawanan.

Pemain Johor turun dengan memakai lilitan putih di lengan kiri manakala pegawai pasukan di bangku simpanan memakai songkok tanda berkabung selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Jumaat lalu.

Anak-anak buah K. Devan pula turun penuh bersemangat sebagai menghargai kira-kira 5,000 penyokong mereka yang masih setia hadir ke stadium apabila selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Selangor hanya memerlukan lima minit untuk memperolehi gol pertama apabila Amirulhadi Zainal bijak melambung bola melepasi penjaga gol Johor, Amron Jaihan selepas menerima hantaran Nasriq Baharom.

Johor memiliki peluang menyamakan kedudu- kan pada minit ke-25 apabila kesilapan Razman Roslan dihukum Fahian Roslan tetapi percubaannya terkena tiang selepas melepasi penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Pada minit ke-31, Selangor berjaya memper- oleh gol kedua selepas percubaan kemas Safee dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Amron. Sebelas minit kemudian Safee sekali lagi cemerlang dengan menjaringkan gol ketiga Selangor menerusi rembatan kaki kiri menarik dari luar kotak penalti selepas menerima loro- ngan Amirulhadi.

Pada separuh masa kedua, Selangor langsung tidak menunjukkan belas kasihan terhadap Johor apabila menambah gol keempat pada minit ke-52 menerusi rembatan Razman dari dalam kotak penalti.

Amirulhadi menghadiahkan gol kelima Sela- ngor dan gol kedua peribadinya pada minit ke-84 sebelum Safiq Rahim menjaringkan gol keenam selepas sepakan percumanya terus menerjah jaring empat minit kemudian.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Terengganu 2-1.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pula menyaksikan ruan rumah, Kuala Lumpur diikat 1-1 oleh Pahang.

Di Stadium Perak, Ipoh turut menyaksikan Perak seri 0-0 dengan Kelantan manakala Pulau Pinang pula tumpas 0-3 kepada Kedah di Stadium Negeri Batu Kawan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula menyaksikan T-Team menewaskan Perlis 1-0.

0 comments: